Tuesday 2 October 2012

TENDER PROJEK LANGAT 2

Tender untuk projek Loji Langat 2 telah dikeluarkan oleh PAAB .  Itu usaha Kerajaan Persekutuan untuk mempercepatkan projek yang telah lama tertangguh.  Kerajaan Negeri Selangor pula sebaliknya memberi amaran untuk menyekat pelaksanaan projek ini kerana persetujuan mereka tidak diperolehi terlebih dahulu, malah telah memberikan kata-kata amaran kepada pembida-pembida tender projek itu bahawa pihak pembida bakal berdepan dengan Kerajaan Negeri Selangor.

Wajarkah sesebuah Kerajaan di negeri yang paling pesat membangun dan ternyata sangat-sangat memerlukan penambahan kuantiti air terawat bersikap sedemikian?  Selangor adalah sebuah negeri perindustrian yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara dan menjadi tumpuan para penduduk untuk tinggal memandangkan peluang pekerjaan yang wujud melalui perindustrian ini. 

Walau apapun pendirian politik kerajaan yang memerintah, isu pembekalan air  bersih terawat adalah isu sejagat yang diperjuangkan di seluruh dunia.  Sepatutnya di dalam sebuah negeri yang moden dan pesat membangun ianya tidak menjadi satu isu yang perlu dicampur-gaul dengan pendirian politik.  Adakah perlu rakyat Selangor mati kehausan, terbantut pembangunan, dan merudum ekonomi semata-mata untuk menang dalam perjuangan politik parti yang memerintah? 

No comments:

Post a Comment